Kata pendahuluan

Assalamualaikum kepada pembaca sekalian. Kami bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah diizinkan kami membuat blog yang bertemakan Islam. Tujuan kami mewujudkan blog ini adalah untuk membongkar tentang gejala sosial yang tidak ada batasan lagi bagi remaja Islam sekarang. Kami berharap agar blog ini mendapat sambutan daripada umat Islam dan bukan Islam. Dengan izin Allah s.w.t blog ini akan dapat memberi banyak manfaat dan ilmu yang kalian akan diperolehi. Akhir kalam dari kami,kami memohon maaf jika ada kesilapan secara tidak kami sengajakan. Doakan kejayaan kami ini. Shukran.

Al-Quran With Jihad For Islam

Tiada masa untuk membaca al-Quran di rumah? Mungkin kerana kesibukan kerja. Kini al-Quran didatangi dengan versi flash yang boleh diselak seperti helaian al-Quran. Al-Quran secara maya ini dibawakan khas oleh quranflash.com dan boleh diakses dengan lebih mudah dengan menekan link di bawah:

Jihad For Islam Al-Quran Versi Flash

Al-Fatihah

Nilai Tudung Wanita

Di sini Jihad For Islam ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Dipetik daripada: Darul Nu'man

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutnya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman. (ali-‘Imran: 67-68)


SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah SWT menyebut pada ayat terdahulu berkenaan dua kumpulan Yahudi dan Kristian yang mendakwa bahawa agama mereka adalah agama Allah yang sebenar. Dan bahawasanya, ia adalah agama para Nabi keseluruhannya. Begitu juga agama Nabi Ibrahim a.s.

“Mereka juga mendakwa bahawa mereka tidak pernah meminda dan menukar ayat-ayat Allah. Begitu juga golongan musyrikin mendakwa dari kalangan keturunan Nabi Allah Ibrahim tetapi Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Ibrahim tidak mengikut dakwaan dan sangkaan mereka. Tetapi ia Nabi wahdaniah yang mengesakan Allah serta meruntuhkan segala berhala.


Ayat ke-67

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.


Sebab Nuzul

Ibn Jauzi berkata: Ada dua pendapat berkenaan dengan sebab nuzul.

Pertama: Pembesar yahudi berkata kepada Nabi SAW bahawa kami lebih utama darimu dengan agama Ibrahim a.s. dan dia adalah dikalangan Yahudi sedangkan kamu adalah yang berhasad lantas turun ayat ini. Ini adalah pendapat Ibn Abbas r.a..

Kedua: Amru bin al-As hendak menjadikan raja Najasyi murka kepada sahabat nabi seraya berkata: ”Mereka mencerca Isa a.s. lantas Raja Najasyi bertanya: Apakah yang dikatakan oleh sahabatmu (Muhammad tentang Isa)?”

Mereka menjawab ia adalah hamba Allah dan rohnya serta kalimah yang dicampakkan kepada Maryam, kemudian turunnya ayat ini seperti kata Abdul Rahman bin Ghanam.


Ikhtibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: ” Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Allah Ibrahim a.s. tidak syirik tetapi menganut agama yang sebenar serta beriman”.

Ayat ini sebenarnya sama seperti ayat 135 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud : Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: ”Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (Wahai Muhammad: ”Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”.


ii. Al-Qurtubi berkata: ”Allah menyucikan segala dakwaan-dakwaan mereka yang dusta dan menerangkan bahawa Nabi Ibrahim a.s. di atas agama yang sebenar tanpa sekutu”.


iii. Sheikh Sya’rawi berkata: ”Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Ibrahim bukan golongan Yahudi kerana golongan itu datang selepasnya. Begitu juga golongan Nasrani kerana golongan itu datang selepasnya.

”Berdasarkan kepada kalimah Hanif jelas menunjukkan bahawa Ibrahim a.s. penganut agama yang bersih datang daripada Allah SWT yang tiada sebarang condong ke mana pun.


iv. Al-Maraghi berkata: ”Nabi Ibrahim seorang yang telah diakui kebesaran dan kehormatan oleh bangsa Yahudi, kaum Nasrani, dan golongan-golongan musyrik. Namun sama sekali tidak ada dengan agama penyembah berhala.


v. Muhammad Quraish Shibab berkata: ”Ayat ini membantah kebohongan mereka. Nabi Ibrahim a.s. bukan seorang Yahudi seperti yang diakui oleh orang-orang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani dengan dalil yang dikemukakan.

”Sebaliknya, dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri kepada Allah dan juga sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik, yang dapat diduga oleh orang-orang musyrik Mekah yang mengaku mengikut agama beliau”.


Ayat ke-68

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang Yang beriman.


Ikhtibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: ”Orang yang paling berhak mengikuti Ibrahim dan agamanya ialah Nabi Muhammad SAW dan mereka yang beriman dengannya dikalangan muhajirin dan Ansar serta mengikut jejak mereka”.


ii. Riwayat Ibn Mas’ud r.a. bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya setiap Nabi ada wali-wali di kalangan Nabi-nabi. Dan waliku dikalangan mereka ialah bapaku (Ibrahim a.s.) dan kekasih Tuhanku Azzawajalla.

”Kemudian Nabi SAW membaca ayat ini yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutnya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman”.


iii. Al-Maraghi berkata: ”Inilah hakikat Islam dan tujuan iman yang sebenar. Barang siapa yang kehilangan jiwa seperti itu bererti dia sudah kehilangan seluruh agamanya (dalam sanubari)”.


iv. Muhammad Quraish Shibab berkata: ”Ayat ini turun menundukkan persoalan, yakni: Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim dan paling berhak dinamai pengikut Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang bersungguh-sungguh mengikutnya baik yang hidup pada masa beliau atau sesudahnya”.


v.Hamka berkata: ”Tuhan menjamin bahawasanya apabila orang telah benar-benar beriman kepada-Nya, tidak lagi menduakan hati kepada orang lain, tidak memandang ada yang memberi manfaat atau mudarat dalam alam ini selain Allah SWT, orang-orang sedemikian akan dipelihara oleh Allah SWT”.


Demikianlah ayat yang membincangkan berkenaan dakwaan Nabi Ibrahim a.s. dari golongan mereka sedangkan dakwaan itu meleset dan batil sebagaimana yang dinafikan oleh Allah SWT.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya dan tidak menyeleweng sebagaimana golongan yang lain.


Disediakan oleh: Muhammad Azim bin Haji Hamidun

Didik Anak Tanpa TV

“Kami memilih untuk rumah kami tidak mempunyai televisyen,” beritahu seorang teman.

“Hebat. Antara ‘hiburan’ dan ‘maklumat’, bagaimana kamu mengendalikannya?” saya ingin tahu.

“Kalau anak-anak mahu menonton animasi, kami akan belikan cd dan tengok di komputer. Manakala maklumat seperti berita, internet kan ada?” jawabnya.

Saya mengangguk.

Sejujurnya, saya mengagumi kesungguhan kawan saya memilih untuk menolak adanya televisyen di rumah. Saya menghormati keputusan itu dan menerimanya sebagai salah satu alternatif yang baik.

Tetapi, mengapa saya tidak mengambil pilihan yang ini? Mengapa tidak rumah saya bebas televisyen?

Memikirkan persoalan ini tatkala mata anak-anak terpacak mengadap skrin itu, terdetik juga hati untuk bertindak sama. Imaginasinya ialah, humbankan sahaja televisyen itu ke dalam sungai!

BAHAN IMPORT

Akan tetapi, saya terkenang kembali kejadian yang berlaku semasa anak sulung saya berusia lima tahun. Semasa saya memotong rambutnya di rumah menggunakan mesin pemotong rambut.

“Eh, kepala Yop botak macam Mawi!” kata anak saya semasa melihat ‘imej baru’nya di cermin.

“Aik, macam mana Yop kenal Mawi?” saya kehairanan.

“Kat tadika, ada CD Mawi,” jawabnya jujur.

Aduh, biar pun rumah saya tidak ‘mesra Mawi’ tetapi perkenalan di antara anak saya dengan Raja SMS itu tetap boleh berlaku. Anak kita benar-benar anak kita dan berada di dalam corak kawalan kita, hanya pada 4 tahun pertama usianya sahaja. Sebaik sahaja kakinya melangkah ke alam pra sekolah, anasir luar mula menjadi sebahagian daripada dirinya dan kita perlu berperanan menyaring juga menapis anasir-anasir tersebut.

Tetapi semasa anak kita berusia lima atau enam tahun, kita sebagai ibu bapa boleh berperanan untuk menapisnya. Namun hubungan kita dengan anak-anak akan mula merosot apabila anak-anak masuk ke alam persekolahan. Kawalan kita ke atas hidup mereka akan menurun sesuai dengan perkembangan sudut lain diri anak-anak kita. Sudut membuat pilihan dalam kehidupan.

Ya, Aqil dan Baligh yang menjadi sempadan pembeda di antara manusia mukallaf dan tidak mukallaf sangat bersangkutan dengan UPAYA MEMILIH.

Justeru seiringan dengan berkurangnya UPAYA MENGAWAL kita ke atas anak-anak, mereka pula mestilah dilatih untuk meningkatkan UPAYA MEMILIH dan membuat keputusan dalam kehidupan.

ANAK GAJAH

Seekor anak gajah tertambat kakinya di tiang semenjak awal usia. Setiap hari anak gajah itu cuba untuk melepaskan dirinya, tetapi gagal. Rantai itu terlalu kuat untuk seekor anak gajah bertubuh kecil. Tetapi apabila anak gajah sudah menjadi dewasa, dirinya sudah lama berhenti mencuba untuk melepaskan diri. Gajah itu pasrah membiarkan dirinya tertambat, mungkin untuk selama-lamanya.

Gajah itu sudah berhenti mencuba, kerana fikirnya sudah diasuh bahawa tempatnya adalah di sisi tiang. Gajah itu terlupa melihat tubuhnya yang sudah berganda besar dari lima atau sepuluh tahun yang lalu. Gajah itu alpa bahawa kekuatan dirinya sudah cukup kuat untuk merentap rantai dan lepas bebas.

Gajah itu menjadi mangsa kealpaan dirinya sendiri. Tubuhnya membesar dewasa tetapi akalnya kekal terbantut.

MENYALAHKAN IBU BAPA

“Keturunan kita memang yang lelakinya semua bodoh Matematik!” kata Homer Simpson kepada anaknya, Bart.

Nilai-nilai negatif boleh sahaja tertanam di dalam diri kita kesan pengaruh persekitaran. Antara faktor persekitaran hidup kita, mungkin pengaruh terbesar datangnya dari ibu bapa. Perkataan-perkataan yang diguna pakai saban hari oleh ibu bapa kepada anak-anak, menanamkan nilai pada makna perkataan itu terhadap jati diri si anak.

“Cepat le Maaat. Lembabnya kamu!”, herdik seorang emak.

Suruh cepat, wajar dinyatakan. Melabelkan anak sebagai lembab, di situlah penanaman nilai yang merugikan.

“Hah, dah buat kerja sekolah? Kamu ni memang pemalas!” tengking seorang bapa kepada si anak.

Sewajarnya bertanya sama ada kerja sekolah sudah disiapkan atau tidak itu, sudah menjadi ayat lengkap. Mengapa perlu ditambah dengan label “kamu ini memang pemalas”? Label itulah yang meresap masuk ke dalam diri anak-anak. Sama ada ia suatu ‘doa’ dari ibu bapa atau tidak, ia adalah kemasukan nilai yang amat malang terhadap diri anak-anak.

Label-label itulah yang menjadikan ramai anak muda kita kurang keyakinan diri, tidak bercita-cita tinggi malah memiliki identiti yang tebal diselaputi segala unsur yang negatif.

Sama seperti anak gajah, anak kita dibesarkan dengan idea-idea yang membunuh keupayaan dirinya yang sebenar.

UPAYA MEMILIH

Tetapi, itu titik muhasabah buat ibu bapa.

Manakala bagi si anak, tatkala dirinya berada pada usia mudanya, bentuk-bentuk yang negatif terhadap diri mereka mungkin boleh ditunding kepada kesalahan ibu bapa. Sebaliknya, apabila seorang anak menjangkau usia dewasa, mencapai umur Aqil dan Baligh, si anak sudah belajar memikul tanggungjawab. TANGGUNG perbuatan sendiri, dan JAWAB mengenainya di Sana nanti. Di peringkat ini, dia harus mempunyai keupayaan untuk memilih apa yang baik dan apa yang buruk, menyaring segala tumpahan kebiasaan yang menyelubungi hidupnya di alam pra dewasa.

Setelah ada keupayaan sebegini, dirinya menjadi seorang DEWASA. Bahasa Islam menyebutnya sebagai MUKALLAF.

Mukallaf itu adalah seorang manusia yang mempunyai keupayaan berbekalkan akal fikiran dan panduan-panduan hidupnya, membuat pilihan yang betul dalam kehidupan. Antara baik dan buruk, perbuatan buruknya adalah pilihan dirinya, dan dialah yang dipertanggungjawabkan ke atas perbuatan itu.Bukan lagi salah orang lain, bukan lagi salah ibu bapa.

Dalam erti kata yang lain, keupayaan membuat keputusan dan pilihan dalam kehidupan adalah latihan yang mesti diberikan kepada si anak semasa mereka bergerak menuju usia dewasa. Apabila si anak membesar tanpa upaya memilih, hakikatnya anak itu diberi makan minum agar fisiologinya meningkat dewasa, tetapi jiwa dan jati dirinya dibiarkan terperangkap dalam alam kanak-kanak, alam yang lemah membuat keputusan, atau salah membuat keputusan.

Tidak mustahil si jejaka bertubuh sasa bermisai lintang, masih kebudak-kebudakan pada otak dan hatinya kerana tidak bisa membuat keputusan di antara yang baik dengan yang buruk.

TELEVISYEN ATAU TANPA TELEVISYEN

Itulah puncanya mengapa saya memilih untuk menyertai ramai dengan menerima kehadiran televisyen di dalam rumah kami.

Tetapi kehadiran televisyen itu datang bersama pakej latihan memilih dan membuat keputusan.

Apa yang boleh ditonton?

Apa yang tidak boleh ditonton?

Kedua-duanya berada di hujung jari, tetapi anak dilatih untuk membuat pilihan yang betul.

“Abi, bagi la Yop tengok Crayon Shin-chan!” pinta anak saya.

“Yop boleh tengok kartun yang lain, tetapi Shin-chan tak boleh,” saya memberitahu anak.

“Kenapa tak boleh?” soal anak saya.

“Sebab Shin-chan biadab. Dia tidak hormat ibu bapa. Comel tetapi kurang ajar. Yop tak nak jadi biadab kepada ibu bapa, kan?” saya cuba berlogika dengan anak.

“Tak nak!” jawab anak saya.

Maka petang itu, anak menonton rancangan yang baik, dan meninggalkan rancangan yang tidak baik. Apa yang disekat petang itu bukanlah menonton televisyen, tetapi menyekat anasir tidak baik. Unsur negatif sebegitu bukan sahaja ada di televisyen, malah di sekolah, di internet, di kejiranan dan di mana-mana sahaja sudut kehidupan. Didikan yang diberi adalah untuk menolak unsur negatif, bukan menolak wasilahnya yang bernama televisyen.

Bagi diri saya, proses seperti ini lebih menyelamatkan untuk anak-anak menempuh realiti yang penuh cabaran itu. Jika di usia tujuh atau lapan tahun, anak-anak mungkin masih boleh disekat dan dikawal keinginan mereka. Tetapi apabila si anak mencecah usia yang lebih dewasa, andai di rumah tiada televisyen, mereka dengan mudah boleh menontonnya di rumah kawan.

Malah di satu peringkat, televisyen mungkin jauh lebih selamat berbanding internet.

Di peringkat proses mengawal untuk latihan memilih ini berlangsung, saya juga memanfaatkan sistem yang memboleh dekoder dikunci dengan kata laluan. Pada hari-hari biasa, hanya satu sahaja saluran kartun yang dibenarkan, manakala saluran yang lain akan dibuka pada masa-masa lapang, juga sebagai ganjaran tatkala selesai menyempurnakan tugasan rumah atau sekolah.

Apa yang penting, tindakan-tindakan ini bukanlah dibuat dalam bentuk hukuman. Sebaliknya si anak diberitahu dengan jelas akan sebab musabab mengapa kita bertindak begitu.

Ia bukan mengawal untuk mengongkong.

Ia adalah kawalan untuk melatih membuat keputusan dan pilihan.

KUALITI DAN KUANTITI MASA

Biar pun televisyen ada di rumah, saya tetap berusaha untuk mewujudkan masa-masa berkualiti antara saya dan isteri bersama anak-anak tanpa televisyen. Ada masanya televisyen ditutup, dan kami sekeluarga duduk bersama-sama berbual, mengulangkaji pelajaran atau bermain bersama-sama.

Kualiti masa bersama, lebih berharga daripada kuantiti masa yang melimpah ruah ketika seluruh keluarga duduk sebumbung, tetapi tidak bersama, kerana hakikatnya semua sedang berkomunikasi dengan televisyen, bukan sesama ahli keluarga.

Sekali lagi, pembetulan banyak perlu berlaku ke atas manusia, bukannya ke atas televisyen. Ada masa, ahli keluarga diajar memilih siaran. Ada masa televisyen ditutup sepenuhnya mengikut keperluan dan keadaan.

REALITI

Tatkala didesak-desak, bimbang juga anak belajar menipu apabila cuba menyembunyikan perbuatannya yang sebenarnya biasa-biasa sahaja. Kemahiran menipu itu bisa menjadi senjata untuk menyembunyikan perbuatan yang nantinya luar biasa pula.

Itulah kekhuatiran saya.

Kekhuatiran tatkala mengendalikan program anak-anak remaja hari ini. Ramai dari kalangan mereka yang mempunyai ibu bapa dan keluarga yang komited dengan Islam, tetapi si anak memberontak dan berjiwa pemberontak. Ia bermula dengan kebosanan hidup, terutamanya apabila mereka mula membandingkan diri dengan kawan-kawan sebaya.

Atas kebimbangan itulah, saya memilih untuk mendekatkan anak dengan realiti kehidupan, dan membawa peti realiti kehidupan (yang penuh ilusi) ke dalam rumah. Cuma, realiti itu ditonton secara selektif, melalui proses membuat pilihan.

'Demi diri manusia dan (Dia) yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)'[Al-Shams 91: 7-10]

Kedewasaan itu adalah upaya memilih antara yang baik dan buruk dalam kehidupan. Menyediakan anak menuju alam dewasa, menuntut ibu bapa mendidik anak untuk memilih dan membuat keputusan.

Ia jalan yang sukar, tetapi itulah kesukaran sebuah kehidupan.

Hasil Nukilan: Muhammad Azim bin Haji Hamidun

Memahami Al-Ma'thurat

MANUSIA lahir di atas dunia ini dibekali dengan fitrah. Disamping itu manusia juga membawa nafsu dan keinginan yang selalu mewarnai corak kehidupan seseorang. Namun begitu Allah S.W.T. telah membimbing manusia dengan wahyu dan akal yang ada pada dirinya sendiri, sehinggalah segala godaan syaitan dapat dihadapi dengan jiwa taqwa dan hati yang bersih.

Tidak semua jiwa mendapat hidayah dan bimbingan Allah, dan tidak semua jiwa mengetahui cara yang terbaik dalam mendekatkan diri dengan Yang Maha Agung. Sehingga ramai yang tersesat ke lembah kebodohan dan kenistaan hidup yang berpanjangan. Sesungguhnya keteguhan jiwa itu dapat dicapai dengan aqidah yang kukuh, solat, zikir, doa, istighar, dan ibadah-ibadah yang dianjurkan Allah SWT untuk mengerjakannya.

Beramallah sesuai dengan anjuran Islam, iaitu seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Orang-orang mukmin yang sejati akan mengisi ruang masanya dengan berbagai amalan dan ibadah yang dapat mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Bibirnya sentiasa basah dalam berzikir, membesarkan dan mengagungkan Yang Maha Mulia, kemudian dia berdoa untuk mengharapkan keredhaan Rabb. Tiada sesuatu yang lebih bererti dalam kehidupan seorang insan melainkan mendapatkan keredhaan Allah SWT. Dalam berzikir dan berdoa ada masa-masa yang tertentu diberikan oleh Allah agar zikir dan doa kita diterima dan dimakbulkan-Nya. Alangkah lebih baik jika kita mampu mengisi dari setiap denyutan jantung kita dengan berdoa dan berzikir kepada-Nya. Kemudian menghayatinya sebagai sesuatu amalan yang tidak mungkin terpisah dari kehidupan kita. Kerana insan yang beriman, dikala pagi dia bertasbih dan berdoa, dikala petang ia tetap dengan kerendahan jiwanya dengan berzikir kepada-Nya. Dikala malam hari ia semakin menundukkan diri kepada Pencipta Yang Agung.

Allah SWT berfirman maksudnya:

" Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhan-Mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya. Dan bertasbihah kamu kepadaNya di malam hari dan setiap selesai mengerjakan solat."

Berdasarkan firman Allah ini setiap individu baik sebagai pemimpin dalam rumahtangga, masyarakat, dan negara serta para pendakwah hendaklah mengamalkan dan menghayati zikir al-Ma'thurat. Dengan membaca zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasulullah ini bererti kita telah membentengi diri kita dengan senjata yang kukuh, sehingga terhindar dari gangguan syaitan yang terkutuk.

Oleh sebab itu Al-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah membina jalan yang baik untuk mengikut Sunnah Rasulullah SAW. Beliau telah memilih dan menyusun al-Ma'thurat dengan mengharapkan bimbingan dari Allah SWT agar terhindar dari gangguan syaitan yang penuh angkara mungkar. Maka alangkah baik setiap diri muslim mengamalkan zikir al-Ma'thurat ini pada setiap pagi dan petang, siang dan malam.

DIANTARA KEUTAMAAN BACAAN AL-MA'THURAT


Al-Ma'thurat dimulai dengan ucapan "Aku bermohon perlindungan Allah, Maha Mendengar, Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam", mengandungi erti bahawa setiap jiwa kita sebelum melakukan aktiviti harus menyerahkan diri kepada-Nya. Ucapan itu juga menunjukkan betapa besarnya harapan seorang hamba kepada Allah, kemudian berusaha untuk terhindar dari sesuatu yang dapat menyesatkan jiwa seseorang dari mengingatkan Allah.

Dari Annas r.a. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

Siapa yang mengucapkan di waktu pagi ucapan 'Maka ia dilindungi dari gangguan syaitan yang direjam hingga ke petang'. (Riwayat Ibn Al-Sunni)

Bacaan Al-Fatihah dalam zikir al-Ma'thurat merupakan bacaan yang agung. Mengandungi pahala yang besar jika membaca dan menghayatinya. Rasulullah bersabda bermaksud: "Demi Allah yang nyawaku di tangan-Nya sebelum ada surah yang diturunkan di dalam Taurat, Injil, Zabur atau Furqan yang menandinginya. Dialah tujuh Mithani dan Quran yang agung yang diberikan kepada ku."

Membaca surah al-Baqarah dalam zikir Ma'thurat juga memperoleh pahala yang besar. Dari Ibnu Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa membaca sepuluh ayat dari surah al-Baqarah di awal siang nescaya ia tidak didekati oleh syaitan sampai petang, jika dibaca waktu malam nescaya syaitan tidak akan mendekatinya sampai pagi. Tidak akan dilihatnya apa-apa yang buruk menimpa keluarganya atau hartanya." (Riwayat Al-Darami dan Baihaqi)

Membaca ayat kursi juga terhindar daripada gangguan syaitan. Dari Ibnu Mas'ud sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang membaca sepuluh ayat, ayat-ayat surah al-Baqarah, ayat kursi, dua ayat selepasnya dan hujung surah al-Baqarah nescaya syaitan tidak akan masuk dalam rumahnya sampai pagi." (Riwayat Tabrani dan Hakim)

Begitulah semua bacaan zikir yang terkandung dalam zikir al-Ma'thurat terdapat beberapa keutamaan yang dijanjikan oleh Allah SWT terhadap utusanNya Nabi Muhammad SAW. Hanya insan yang mengetahui betapa besarnya nilai doa dalam kehidupan jiwa yang ingin menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari. Semoga umat Islam terutamanya para remaja semuanya mendapat keredhaan Allah dalam mencari kebenaran di dunia ini.

Irsyadee feat. Hafiz Hamidun - Taubat Seorang Hamba

Disediakan oleh: Muhammad Azim bin Haji Hamidun a.k.a. azim6709 Artis: Irsyadee feat. Hafiz Hamidun

All For Ummah - Sentosa (For The Peace Of Gaza)

Disediakan oleh: Muhammad Azim bin Haji Hamidun a.k.a. azim6709 Komposer/lirik: Hafiz Hamidun Artis: All For Ummah Editor: Khairul Nizam bin Haji Hamidun